8 Ogos 2021 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pelumba basikal trek negara, Dato’ Muhammad Azizulhasni bin Awang, di atas kejayaan beliau merangkul pingat perak buat Malaysia dalam acara Keirin lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini. Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau membawa pulang pingat perak buat kontinjen negara di kejohanan sukan terbesar dunia tersebut, sekali gus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Dato’ Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia. Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Dato’ Azizulhasni. Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara serta seluruh kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020. Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga semua atlet negara akan memperoleh kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara di kejohanan-kejohanan mendatang.

malaysia #tokyo2020

1
$ 0.01
User's avatar
@nozel08. posted 3 years ago

Comments